Saturday, 12 January 2013


PKR Dalang Perangkap PAS Untuk Benar Kristian Guna Kalimah Allah

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tentunya sedang tersenyum lebar tika ini, memandangkan tuntutannya supaya kalimah Allah s.w.t digunapakai dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu akhirnya sekali lagi dipersetujui oleh PAS sekaligus kini menjadi polisi muktamad PR.

Kira-kira dua minggu lepas segelintir pemimpin PAS yang berlatarbelakang agama terdiri daripada Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Dewan Ulama PAS, Haron Taib telah tampil penuh yakin dan tegas membantah tuntutan tersebut.

Kedua-dua senada bahawa kalimah suci Allah s.w.t hanya terhad kepada agama Islam dan umatnya serta tidak sepatutnya diseleweng kesuciannya, sebaliknya perkataan Tuhan lebih sepadan bagi menggantikan kata nama 'God' untuk kegunaan dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Pandangan mereka betul kerana Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Esa, yakni satu-satunya yang wajib disembah dan tidak layak dipersekutukan apatah lagi untuk disamatarafkan dengan konsep ketuhanan dalam agama Kristian yang bersifat trinity - Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus.

Amat benar Allah s.w.t adalah Tuhan kepada seluruh manusia, pencipta langit dan bumi serta segala isi kandungannya, itu iktikad kepercayaan umat Islam. Namun Allah s.w.t bukannya Jesus, bukan juga Tuhan Bapa dan bukan juga Roh Kudus sebagaimana difahami oleh penganut Kristian.

Dalam hal ini, pemimpin Kristian dalam DAP, PKR atau mana-mana penganut Kristian di Malaysia tidak berhak untuk meletakkan kedudukan dan kebesaran Allah s.w.t setaraf dengan konsep ketuhanan triniti kepercayaan mereka.

Namun begitu, seperti mana semua kita telah maklum, pandangan kedua-dua pemimpin PAS itu akhirnya tidak pun memberi nilai tambah yang mampu mempengaruhi pendirian bersama PR.

Dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi PR yang terkini telahpun di ambil keputusan muktamad untuk memperakui kalimah Allah s.w.t sewajarnya dibenarkan penggunaannya dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut ternyata gagal mempertahankan kesucian kalimah Allah s.w.t dan maruah agama Islam. Satu kesinambungan bukti yang menonjolkan betapa lemahnya PAS dalam menghadapi pengaruh DAP serta PKR dalam gabungan parti tidak berdaftar itu.

Dasar PAS sekarang ternampak jelas lebih mengutamakan polisi liberalisme dan pluralisme yang dianuti PR semata-mata untuk memenangi undi masyarakat Kristian yang sebahagian besarnya tegar menyokong DAP dan PKR.

Persoalan sekarang kenapa dan mengapa PAS sebegitu lemah sehinggakan tergamak tunduk mengikut segala tuntutan DAP serta begitu kelu bila berdepan dengan kemahuan penganut agama lain?

Jawapan kepada persoalan itu tidak sukar untuk dikupas. Sebahagian puncanya bersangkut paut dengan pengaruh Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang kuat mencengkam PAS ditambah lagi dengan kewujudan ramai pimpinan generasi baru PAS yang serba liberal bertuhankan ideologi Anwarinas.

Dengan penguasaan total oleh golongan Anwarinas dalam kepimpinan PAS menjadikan parti itu bertindak seakan sayap kanan untuk PKR bagi mencapai agenda peribadi Anwar yang begitu kemaruk mahu mengejar puncak kuasa yang lama diidam-idamkan.

Rata-rata pemimpin pro Anwarinas percaya percaturan politik Anwar dalam isu ini pastinya bakal memberi pulangan besar dalam bentuk sokongan pengundi bukan Islam kepada PR khususnya melibatkan penganut agama Kristian, serentak dengan itu diyakini berupaya membuka laluan kuasa ke Putrajaya.

Suka atau tidak, para penyokong tradisi PAS mahupun mereka yang bersimpati dengan perjuangan parti berlabel Islam itu harus, sudah tiada peluang untuk PAS kembali ke landasan asalnya selagi PAS terus terperangkap dalam keindahan angan-angan yang dipropagandakan oleh Anwar dan PKR.

No comments:

Post a Comment